Besi tuang
Besi tuang

Besi tuang

Besi tuangan (atau besi tuang sahaja) adalah suatu kelas pancalogam (aloi) besikarbon dengan kandungan karbonnya lebih daripada 2 peratus.[1][2] Kebergunaanya terhasil daripada suhu leburnya yang agak rendah. Zarah-zarah pancalogam memberi kesan kepada warnanya apabila patah; besi tuangan putih mempunyai bendasing karbida yang membenarkan retakan untuk melalui secara terus, besi tuangan kelabu memiliki emping grafit yang memesongkan retakan yang lalu dan memulakan retakan baru yang tidak terkira apabila bahannya pecah dan besi tuangan mulur mempunyai "nodul" grafit sfera yang menghalang retakan daripada terus berlaku.Karbon (C), dengan julat daripada 1.8 hingga 4 wt%, dan silikon (Si) 1–3 wt% merupakan unsur-unsur mengaloi yang utama bagi besi tuangan. Pancalogam besi dengan kandungan karbon yang lebih rendah dikenali sebagai keluli.Besi tuang cenderung untuk rapuh, kecuali besi tuang yang boleh ditempa. Dengan takat leburnya yang agak rendah, kebendaliran yang baik, kebolehtuangan,[2] kebolehmesinan yang sangat bagus serta ketahanan terhadap ubah bentuk dan haus, besi tuang telah menjadi bahan kejuruteraan. Dengan pelbagai pemakaian, besi tuangan digunakan dalam paip, mesin serta bahagian industri automotif, seperti kepala silinder, blok silinder dan kotak gear. Ia mampu bertahan terhadap kerosakan oleh pengoksidaan tetapi sukar untuk dikimpal.Artifak besi tuang terawal bertarikh pada abad ke-5 SM dan ditemui oleh ahli arkeologi di kawasan yang kini dikenali sebagai Jiangsu, China. Besi tuang digunakan semasa era China purba untuk peperangan, pertanian dan seni bina.[3] Semasa abad ke-15 Masihi, besi tuang digunakan untuk meriam di Burgundy, Perancis dan di England semasa zaman Reformasi. Jumlah besi tuang yang digunakan untuk meriam memerlukan pengeluaran berskala besar.[4] Jambatan besi tuang yang pertama telah dibina pada tahun 1770-an oleh Abraham Darby III (dikenali sebagai Jambatan Besi) di Shropshire, England. Besi tuang juga digunakan dalam pembinaan bangunan.